Wan Fang Tong Meng (Ribuan Keindahan Impian Bersama): Pameran Khas Budaya ‘Mimpi di Mahligai Merah’ di Malaysia
Tahun ini bersamaan dengan tahun Yisi yang menandakan alam semesta mekar subur pada musim bunga dan musim panas menurut kalendar tradisional Cina. Bersempena dengan penganjuran persidangan akademik antarabangsa yang bertajuk “Keunikan Dihargai, Keindahan Dikongsi: Pertukaran Budaya dan Kefahaman Tamadun melalui ‘Mimpi di Mahligai Merah’” di Jabatan Pengajian Cina, Fakulti Sastera dan Sains Sosial, Universiti Malaya, pihak Fakulti/Jabatan, Perpustakaan Chinese National Academy of Arts (CNAA), Perpustakaan Universiti Malaya dan Galeri Seni Universiti Malaya telah berkolaborasi dalam menganjurkan “Wan Fang Tong Meng (Ribuan Keindahan Impian Bersama): Pameran Khas Budaya ‘Mimpi di Mahligai Merah’ di Malaysia”.
Bertemakan karya “Mimpi di Mahligai Merah” sebagai penghubung budaya, pameran ini membentuk sebuah wadah wacana merentas sempadan zaman dan wilayah. Pameran ini bukan sahaja satu penghayatan mendalam kepada khazanah sastera klasik Cina agung, malah turut mencerminkan interaksi dan pertukaran budaya yang dinamik antara Malaysia dan China secara langsung. Melalui karya seni sebagai wadah, pameran ini menjemput semua untuk menyusuri gema dan resonansi antara karya klasik dan kepelbagaian budaya menyingkap keindahan yang dikongsi dan impian yang dilakar bersama. “Mimpi di Mahligai Merah” atau juga dikenali sebagai Hong Lou Meng merupakan karya agung sastera klasik Cina yang telah memikat hati pembaca sejak abad ke-18. Sepanjang lebih 200 tahun, karya ini telah diterjemahkan kepada hampir 40 bahasa termasuk Inggeris, Perancis, Jerman, Jepun, Rusia, Korea, Thai, Mongolia, Belanda, Czech, Melayu, Sepanyol, Kazakh, Yunani, Hungary, dan Ibrani, dengan lebih daripada 160 versi terjemahan. Ia mempunyai ratusan juta pembaca di seluruh dunia. Sebagai salah satu karya klasik Cina yang paling meluas penyebarannya dan berpengaruh di peringkat antarabangsa, “Mimpi di Mahligai Merah” turut menjadi medium penting dalam memperkenalkan warisan budaya tradisional Cina yang gemilang kepada dunia.
Pameran kali ini menampilkan bahan koleksi berkaitan “Mimpi di Mahligai Merah” daripada Chinese National Academy of Arts (CNAA), termasuk bahan dokumentasi sejarah dan karya seni, serta diserikan dengan karya seni bertemakan “Mimpi di Mahligai Merah” milik pengumpul dari Malaysia. Pameran ini memperlihatkan daya hidup seni yang tiada batas dalam karya “Mimpi di Mahligai Merah”, serta warisan dan perkembangannya merentas zaman dan wilayah. Pameran ini terbahagi kepada tiga bahagian, iaitu: "Catatan Mimpi Chéng Jiǎ", “Menjejak Bayang Mimpi”, dan "Seri Mimpi Ratusan Bunga”. Bahagian Pertama, "Catatan Mimpi Chéng Jiǎ" mempamerkan bahan koleksi ilustrasi lukisan (xiuxiang) Hong Lou Meng Edisi Chéng Jiǎ yang disimpan oleh CNAA. Perkataan Chéng Jiǎ merujuk kepada Chéng (程), iaitu Cheng Weiyuan (程伟元), salah seorang penyusun Edisi tersebut; manakala Jiǎ (甲) bermaksud “yang pertama”, menandakan Edisi Chéng Jiǎ inilah edisi cetakan lengkap terawal dalam sejarah penerbitan karya “Mimpi di Mahligai Merah”. Bahagian Kedua, “Menjejak Bayang Mimpi” pula mempersembahkan album lukisan “Mimpi di Mahligai Merah” oleh Yan Kai dari Dinasti Qing dan karya lukisan tambahan oleh seorang artis/pelukis kontemporari iaitu Puan Tan Fenghuan dari CNAA. Bahagian yang terakhir, "Seri Mimpi Ratusan Bunga” menampilkan karya adaptasi seperti cetakan poster, risalah teater, dan foto yang bertemakan “Mimpi di Mahligai Merah”. Pameran ini bukan sahaja menonjolkan tarikan dan keindahan seni “Mimpi di Mahligai Merah” yang penuh pesona, tetapi juga menjadi simbol yang hidup bagi pertukaran budaya antara Malaysia dan China. Semoga kita semua dapat menyelami kehebatan abadi karya klasik agung ini, menghayati makna mendalam dialog antara tamadun, serta bersama-sama meraikan kepelbagaian budaya 'Keunikan Dihargai, Keindahan Dikongsi'.